.MENJUNJUNG RAKYAT.

Penggunan 'BETA' sebagai kata ganti diri pertama dalam post kali ini adalah simbolik kepada sebuah idealogi yang telah disongsangkan. Keperluan penyongsangan ini adalah pantulan dari sifat sedar diri akan kerelevannya di zaman ini.

RAKYAT ADALAH BERDAULAT. Menentang keperluan rakyat adalah penentangan yang membawa maksud menghina rakyat. Penghinaan yang berterusan yang disusun kemas secara tersirat melalui media arus perdana, propaganda sial oleh si sial, tekanan mental dan fizikal, ugutan penjara dan sebagainya hanya akan menjejaskan Institusi Kedaulatan Rakyat-Rakyat Malaysia.
Jangan sesekali menderhaka kepada rakyat!

Daulat dan derhaka adalah sangat sinonim kepada istilah 'Orang-Orang Istana'. Dalam konteks ini, proses penyonsangan melalui idealogi Rakyat Adalah Berdaulat akan secara automatiknya menjadikan rakyat sebagai 'raja' yang baru. Manakala raja dengan rendah dirinya harus menerima perubahan untuk dilabel sebagai 'rakyat'. Tanpa rakyat siapalah raja. Tanpa raja siapalah raja?

Sebuah mitos lapok dalam lipatan sejarah kuno kewujudan 'Orang-orang Istana' ini telah tercatit bahawa rakyat terutamanya puak Melayu adalah berpayung di bawah raja. Logik halus adalah, raja yang sebenarnya berteduh selesa dalam istana dan dipayung oleh rakyat. Penggunaan 'Payung' di sini membawa kepada 1001 istilah: Cukai, kuasa, darjat, doa, daulat, patuh, agung dan lain-lainnya.

Walaupun beta mencanangkan idealogi ini, namun tidak akan pernah sesekali terlintas di jiwa beta mengharapkan sembah-sembahan ke atas diri beta dengan kata-kata seperti Maha Agung dan Ampun Tuanku. Beta sedar, beta juga hanya insan biasa seangkatan dengan kalian. Menjawat pangkat hamba kepada Yang Esa. Terlalu menggunung darjat Maha Agung untuk ditabalkan pada diri beta. Sedang Muhamad pun hanya mencapai taraf Baginda Rasul Allah Muhamad s.A.W, inikan pula diri beta si insan hina ini.


P/S : Andai ada pihak yang tidak senang akan idealogi beta, maka janganah sesekali cuba untuk menyaman beta. Sebarang usaha membawa diri beta ke muka pengadilan adalah tersangatlah derhaka.