.ORANG BESAR.

Seperti kebiasaan, Orang Besar akan menjamu selera di mana sahaja hotel pilihannya. Untuk hari ini, Orang Besar berhajat untuk makan di salah sebuah hotel bertaraf 4 bintang di kota Shah Alam. Apabila hajatnya telah dihidu oleh pihak berkuasa, maka dua anggota bermotosikal (berkuasa besar) dihantar untuk 'menemani' Orang Besar sepanjang perjalanannya ke hotel. 'Menemani' Orang Besar dengan menghalau seberapa banyak kenderaan yang mungkin akan mengganggu perjalanan Orang Besar ke hotel itu nanti. Maklumlah, Orang Besar nak makan maka Orang Besar perlu cepat sampai ke hotel.

Jarak perjalanan dari mahligai milik Orang Besar untuk ke hotel itu adalah 6km. Kebetulan pada hari itu jalan agak lengang. Orang ramai sudah mula beransur pulang ke pejabat atau kilang masing-masing untuk meneruskan rutin harian dengan bekerja. Kalau ada pun yang masih menggunakan jalan pada ketika itu adalah posmen, budak penghantar pizza, pemandu bas awam dan lori-lori pengangkut pasir. Namun sebab Orang Besar mungkin sudah lapar, maka khidmat pihak berkuasa sebagai peneman tetap diperlukan sepanjang perjalannya ke hotel.

Orang Besar tiba di hotel dengan selamat. Orang Besar masuk ke dalam hotel dan menjamu makanan utama. Kemudian menikmati pencuci mulut dan bergembira sambil main catur dengan seorang kenalannya. Tahniah, satu nyawa dapat diselamatkan oleh kita dengan memberi perkhidmatan peneman sepanjang jalan untuk memberi peluang Orang Besar tiba dengan cepat di hotel.

Mahu dijadikan cerita, terjadi pula sebuah kemalangan di satu bulatan di kota Shah Alam pada hari yang sama. Ianya melibatkan seorang lelaki tua dan anaknya yang mahu melintas jalan namun kemudian dilanggar oleh sebuah motorsikal. Lelaki tua dan anaknya cedera parah. Orang ramai menghubungi ambulan. Selepas 35minit ambulan sampai.

Lelaki tua dibawa ke dalam ambulan untuk dihantar ke sebuah hospital besar di Klang. Anak pula dibawa ke hospital yang sama menggunakan sebuah kereta. Jarak perjalanan dari tempat kejadian ke hospital adalah 11km. Kebetulan pada hari itu jalan agak sibuk kerana orang ramai sudah mula keluar untuk pulang ke rumah daripada pejabat dan kilang masing-masing. Ambulan memasang sirennya (yang konon-konon kuat) untuk menghalau kereta. Namun keadaan tidak berubah dan tidak membantu langsung.

Ambulan tiba di wad kecemasan selang 45 minit berikutnya. Berita baiknya adalah, lelaki tua itu kekurangan banyak darah dan disahkan meninggal dunia. Manakala anak lelakinya mengalami patah kaki.

Pihak berkuasa tidak pantas menghidu kejadian ini seperti mana kepantasan yang mereka lakukan ketika mahu menemani Orang Besar. Namun tahniah, satu nyawa sahaja yang terkoban. Dan nyawa itu pun terdiri daripada seorang lelaki tua yang tiada kepentingan. Orang kebanyakkan!

Yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Kan?

.MANUSIA ATAU ANJING.


Seorang remaja warga Indonesia datang ke Malaysia dan bekerja sebagai orang gaji di rumah milik keluarga berbangsa Cina. Jiran-jiran berbangsa Melayu mula berkata-kata (mengumpat cara kecil-kecilan).

Cik Bedah:
"Kesian aku tengok budak Indon tu, keje dengan Cina. Entah pe ar Cina tu bagi dia makan kan".

Cik Timah:
"Alah kalau dah Indon tu, apa-apa pun dia makan je. Bukan dia kira pun".

Cik Joyah:
"Orang Indon ni jangan manjakan sangat Bedah oi, nanti kepala kita dia pijaknya!".

Aku menjentik telinga Cik Bedah, Cik Timah dan Cik Joyah. Kemudiannya aku tumbuk perut Cik Bedah yang gemuk, aku tendang tulang tengkuk Cik Timah yang kurang kalsium, aku lutut muka Cik Joyah yang berkedut dan ketiga-tiga mereka dimasukkan ke dalam guni.

Aku letak dalam bot dan minta tekong bot untuk kirim ketiga-tiganya ke Aceh. Di sana aku berharap mereka akan melihat dunia luar dan belajar untuk menilai kehidupan sebagai seorang manusia. Belajar hidup susah. Belajar untuk memerhati, bukan melihat!

Kemudian pulanglah semula ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Air Asia atau British Airways. Ambil sedikit masa daripada kesibukkan mengumpat tadi untuk renung ke dalam mata remaja tersebut. Sila memerhati nasib si remaja tadi. Ingat, bukannya melihat tapi memerhati!

Tanya dalam diri:
Adakah remaja ini mempunyai cita-cita?
Adakah remaja ini mempunyai hobi?
Adakah remaja ini memiliki cinta?
Adakah remaja ini perlu bahagia?
Siapa keluarganya?
Masih hidupkah ibu dan bapanya?
Bagaimana kehidupan remaja di negaranya?

Jawab dalam diri:
Mungkin remaja ini tiada cita-cita.
Mungkin remaja ini tiada hobi.
Mungkin remaja ini tiada cinta.
Mungkin remaja ini tiada perlu bahagia.
Mungkin remaja ini tiada keluarga.
Mungkin remaja ini tiada ibu dan bapa.
Mungkin remaja ini tiada kehidupan di negaranya.

Daripada jawapan-jawapan ini, timbul satu lagi persoalan. Adakah remaja ini manusia atau anjing?

.MACHU PICCHU.


Aku perlu untuk melihat warna hijau pohon-pohon bergunung di sana untuk memadamkan sikit demi sedikit warna biru yang wujud dalam kepala otak aku ni:p

Harap tercapai!

.HILANG TERUNA.

Selesai sudah azam aku untuk menyelesaikan sebuah video pendek (BONDA) yang telah aku pikir-pikirkan idea dan temanya hampir satu semester di UiTM (lingkungan 5 bulan). Mungkin apa yang aku imaginasikan tidak 100% sama dengan visual yang telah terhasil, namun satu perkara yang tidak ternilai indahnya adalah pengalaman yang sangat berguna.

Ketika menghasilkan video pendek ini, aku hanya memberanikan diri membawa idea cerita semata-mata kerana aku terlalu miskin dengan pengetahuan berkaitan perjalanan produksi dan pengurusan produksi.

Maka ketika itu mula ada mulut lebar si 'pintar-pintar' yang meninggikan suara terhadap aku..

"ko kalau nak wat short film Piz ko tunggu sampai part 03 dulu then baru ar wat. Kalau tak hancur dowh citer ko nanti. Percayalah cakap aku".

Aku mengiyakan sahaja kata-kata golongan manusia ini. Aku senyum dan mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda 'terima kasih' yang tidak terhingga atas dorongan 'bernas' sedemikian.

Mereka belum cukup mengenali aku. Aku sebenarnya sudah bergelar seorang lelaki dewasa. Aku mula sedar sejak aku darjah enam lagi (terjadi ketika aku dilanda sebuah mimpi indah yang melayang-layangkan nafsu aku tinggi ke langit dan memancutkan beribu-ribu kasih sayang ke seluar).

Sebagai lelaki dewasa aku sedar aku berhak untuk berpura-pura setuju (jaga hati) dan akhirnya berkeras kepala meneruskan impian aku (puas hati).

Kenapa perlu tunggu semester 03? Takut melakukan kesilapan ke? Tak nak berhadapan dengan cacian orang? Malu nak mencuba?

Jangan pikir sejengkal tangan sahaja wahai saudara bangsaku. Tadah segala cacian di awal jalan dan nikmati pujian di hujung jalan.

Atas alasan itu aku memberanikan diri tampil dengan idea dan membuat video ini. Sambil dibantu oleh rakan-rakan dan senior. Pengalaman mereka adalah sangat perlu. Pengalaman mereka akan menjadi pengalaman aku.

Mungkin idea untuk video ini tidak terlalu hebat, tapi aku suka untuk memecahkan 'virgin' aku dengan sebuah cerita bertema sebegini. Kasih ibu! Dengar temanya sahaja sudah kelihatan terlalu kebiasaan. Tapi aku berkeras, kerana aku mahu segalanya penuh kesederhanaan di awal graf pencapaian.

Pelbagai masalah terjadi apabila orang baru seperti aku bikin cerita. Tapi aku sudah bagi tahu awal-awal pada segala tulang belakang produksi dan termasuk diri aku sendiri supaya jangan sesekali takut untuk melakukan kesilapan!!! Ini peluang terbaik untuk buat silap:p

Kini video telah siap menjalani segala proses dan atas permintaan fakulti (untuk membalas jasa kerana aku telah pinjam peralatan fakulti) maka video ini telah selamat dilepaskan ke Festival Filem Malaysia '09. Selepas ini ianya akan ditayangkan pula untuk tontonan umum di Pancha Delima Kolej Puncak Perdana. Aku percaya dan aku berpegang bahawa ianya akan berhenti di sini sahaja.

Aku tidak mahu bermegah-megah pada satu bahan yang hanya ada jalan cerita sahaja. Video ini hanya karya awal aku untuk memecahkan 'teruna'. Semoga selepas sudah 'berkahwin' ini aku akan akan jadi lebih biasa dengan 'malam-malam' berikutnya dan tidak sekekok 'malam pertama'.

Aku harapkan apa yang aku pelajari ketika penghasilan video pendek Bonda ini mampu untuk membuahkan sesuatu yang lebih segar pada perancangan penghasilan produk yang akan datang..sebuah filem pendek yang berkisar tentang langit dan Bumi. Jangan derhaka kata si cilaka!