.TOKOH.

Semangat tokoh-tokoh masyarakat seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Mohamad merancakkan lagi minda untuk berfikir. Mengapa tokoh-tokoh ini perlu berjuang? Mengapa tokoh-tokoh ini perlu dihalang dan dipenjarakan? Sebelum itu wujud pula Dato Bahaman, Rentap, Banting, Mat Kilau dan ramai lagi yang turut membawa semangat yang sama walaupun cara perjuangan itu berbeza.

Jika tokoh-tokoh silam memperjuangkan kemerdekaan di dalam sebuah negara yang dijajah, semangat itu perlu diteruskan di masa kini bagi MEMPERJUANGKAN KEMERDEKAAN DI DALAM SEBUAH NEGARA YANG MERDEKA pula. Memperbetulkan di setiap inci, daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Daripada peringkat teratas turun ke peringkat terbawah.

Melihat kepada perlunya untuk meletakkan kedudukkan Raja-raja Melayu itu pada kedudukkan asalnya. Wujud sebagai individu pemimpin yang benar-benar memimpin dan sangat dihormati kerana akhlak dan personalitinya (indah zahir dan rohani). Bukan perlu dihormati kerana kuasa dan berlindung disebalik perundangan yang telah termaktub (sebagai ugutan). Aku terlalu terganggu melihat raja-raja ini diangkat dan diagung-agungkan sehingga mencapai taraf lebih mulia daripada junjungan kita nabi Muhamad S.A.W. Mereka tidak boleh ditegur dan disentuh seakan tersangatlah suci diri dan terkecuali daripada jenis manusia yang melakukan kesilapan dan dosa. Jangan derhaka!

Aku juga ingin melihat bangsa aku, Melayu memiliki 100% haknya tanpa perlu melalui ketirisan dan canangan penipuan oleh si pejuang-pejuang bangsa yang palsu. Ingin juga aku melihat bangsa lain seperti Cina dan India dipandang sebagai manusia, bukan kaum.

Islam digerakkan dengan pelaksanaan yang telus dan berani. Bukan lagi hanya disebalik nama semata-mata. Tidak sempurna jika hanya mengatakan Islam itu sendiri tertegaknya di dalam negara kerana kononnya Islam itu adalah agama rasmi persekutuan.

Aku sering ditentang oleh golongan veteran dan pejuang-pejuang bangsa yang palsu dengan menyatakan aku masih terlalu mentah. Sering menakut-nakutkan aku bahawa Melayu akan musnah andai kaum lain diberi hak kesamarataan. Sering mengugut-ugut aku Melayu akan mengemis di negara sendiri andai kaum lain diberi peluang untuk bersuara. Aku hanya mampu untuk tersenyum dan berlalu pergi. Sebab mak aku (Puan Junaidah Mat Amin) kata, jangan lawan cakap orang tua-tua. Lagi-lagi kalau orang tua itu hanya memiliki otak sahaja. Ada benarnya kata mak aku itu. Sebab apabila bercakap dengan orang-orang macam ini ianya diibaratkan seperti bersembang dengan kucing. Ini kerana kucing akan ‘memiow-miow’ apabila kita bersembang denganya seolah-olah menunjukkan ianya memiliki otak untuk berkata-kata. Walhal kucing itu tidak tahu, dia hanya ada otak sahaja. Sedangkan aku ada otak dan akal untuk berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu itu.

Keperluan mengenai apa yang diperjuangkan itu adalah mengikut peredaran zaman. Andai apa yang aku inginkan pada hari akan memberi implikasi negatif kepada anak dan cucu aku di masa akan datang (terutama perkara berkait dengan hak kesaramataan setiap bangsa), maka ianya menjadi tangunggjawab mereka pula untuk memperjuangkannya mengikut apa yang berlaku di zaman itu. Aku percaya bahawa setiap generasi itu perlu memperjuangkan sesuatu. Bukan menuju kepada nilai-nilai kesempurnaan, cukup sekadar mendatangkan kesan mendalam kepada masyarakat secara amnya.

Setiap generasi juga perlu ada haknya untuk menjadi generasi pemikir. Andai si tua-tua daripada golongan pejuang bangsa yang palsu tadi asyik menakut-nakutkan dan mengugut-ugut aku atas perubahan yang ingin aku tekankan, seolah-olah golongan manusia konservatif ini telah menafikan hak aku untuk berfikir dan menerima sahaja bulat-bulat apa yang dibentuk oleh generasi terdahulu. Ianya membawa ke arah satu budaya yang tidak sihat untuk pembangunan dan kemajuan negara. Sewajibnya adalah dengan memberi galakkan yang teransang agar lebih ramai pemikir wujud dikalangan kita untuk memperbetulkan kesilapan. Namun hari ini gejala bunuh-membunuh sesebuah idea itu menjadi begitu dasyat hingga ramai pemikir-pemikir cerdik pandai (pahlawan bangsa yang sebenar) mati berlimpangan tanpa bernisan.

.MERDEKA.

Media massa yang aku sangkakan akan berlumba-lumba untuk menjaja pelbagai iklan dan kempen perangsang mengenai ketibaan Ramadhan, ternyata menjadi satu sangkaan yang meleset. Mungkin kehadiran Ramadhan kali ini yang agak hampir dengan tarikh keramat 31 Ogos menyebabkan mereka terlalu keliru untuk memilih mana yang lebih penting.

Pelbagai rupa dan bentuk sogokkan telah ditabur dalam medium media massa bagi menyedarkan masyarakat Malaysia bahawa pentingnya untuk mengerti dan meraikan anugerah kemerdekaan yang ke-52. Bukan senang negara mahu mencapai kemerdekaan, beribu-ribu nyawa terkorban. Beribu-ribu jiwa tertindas. Beratus-ratus orang tidak berdosa dipenjara. Aku akui mengenai kenyataan itu.

Tapi ramai yang tidak sedar atau sudah bocor kepala otak bahawa hakikatnya hari ini kita terlalu taksub pada keraian dan keramaian dalam menyambut kemerdekaan. Tidak lagi menyusuri niat hakiki iaitu mengecapi pengertian sebenar kemerdekaan. Orang ramai datang dengan memakai bedak tebal-tebal, pakaian cantik-cantik, lawa-lawa, handsome dan comel-comel menuju ke tempat yang dirasakan akan menimbulkan suasana yang paling meriah. Kebiasaannya kalau di Lembah Klang ini pilihan utama adalah The Curve, Jalan Bukit Bintang, Sunway Pyramid dan banyak lagi. Kalau mahu kemeriahan berganda, kunjungi KLCC untuk meraikan kemerdekaan bersama-sama warga Indonesia yang turut menyelami 'kepayahan' dalam perjuangan hidup di Malaysia. Maka apabila dapat cuti, ianya satu kemerdekaan juga bagi mereka.

Menyambut kemerdekaan dengan menggunakan masa berjalan-jalan dan berbual-bual kosong. Untuk yang hadir secara berpasangan, tahniah! Satu tindakan bijak. Sekurang-kurangnya korang tidak akan jalan-jalan dan borak kosong sahaja macam orang lain. Banyak masa terluang dan peluang untuk diisi dengan kegiatan 'berisi'. Jangan takut untuk 'bergembira', negara kita sudah 52 tahun merdeka.

Menunggu beramai-ramai untuk menanti ketibaan pukul 12 tengah malam dengan pelbagai aktiviti dan program yang disediakan oleh pihak penganjur. Antaranya adalah konsert oleh artis tempatan dan luar negara, ucapan indah dan penuh 'kesedaran' oleh para pemimpin tanah air dan persembahan shuffle yang diselang-selikan dengan persembahan tarian tradisional. Setibanya pukul 12, akan muncul pula pelbagai warna dan bentuk bunga api. Wow indah sungguh!

Dalam jangkaan aku, pukul 2 pagi kebiasaannya orang ramai akan mula bersurai. Tapi ingat, orang ramai sahaja yang akan bersurai, yang bukan kategori orang seperti burung hantu dan kelawar akan kekal merayau-rayau meneruskan aktiviti 'beriadah' pula bersama bersama teman dan pasangan masing-masing.

Meriah dan sangat mengujakan. Kini tiba pula giliran pekerja-pekerja Dewan Bandaraya (DBKL) untuk meneruskan 'peperangan'. Keluarkan batang penyapu, sediakan plastik sampah dan kemudian beramai-ramai memulakan kegiatan gotong-royong menyapu botol-botol dan tin-tin penyembur. Menggunakan konsep Sapu dan Sodok, para pekerja ini akan menghabiskan masa sehingga lewat pagi untuk menyapu sampah-sampah ini. Kesian, mereka masih tidak dapat meraikan kemerdekaan sepenuhnya. Masih lagi berperang dengan sikap sambil lewa masyarakat. Dijajah oleh bangsa sendiri.

Selesai sudah sebuah sambutan kemerdekaan di Malaysia. Persoalannya, di manakah ruang untuk masyarakat (generasi muda terutamanya) untuk mengerti maksud sebenar sebuah kemerdekaan? Adakah ketika persembahan oleh artis-artis? Adakah ketika mendengar ucapan acuh tak acuh oleh para pemimpin tertinggi negara? Atau mungkin ketika melihat tarian unik shuffle yang dipertontonkan oleh para remaja?

Jawapannya adalah ketika acara bunga api dipancarkan ke langit. Ini kerana ketika itu bunyi dentuman sangat kuat, banyak asap kelihatan, orang ramai juga akan berteriak setiap kali bunga api itu terpancar. Nah, ketika itulah masyarakat akan dapat merasakan suasana seolah-olah berada pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Mewujudkan sebuah suasana seperti di medan perang. Merasakan kepahitan dan terseksanya untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Hebat bukan?