.ORANG BESAR.

Seperti kebiasaan, Orang Besar akan menjamu selera di mana sahaja hotel pilihannya. Untuk hari ini, Orang Besar berhajat untuk makan di salah sebuah hotel bertaraf 4 bintang di kota Shah Alam. Apabila hajatnya telah dihidu oleh pihak berkuasa, maka dua anggota bermotosikal (berkuasa besar) dihantar untuk 'menemani' Orang Besar sepanjang perjalanannya ke hotel. 'Menemani' Orang Besar dengan menghalau seberapa banyak kenderaan yang mungkin akan mengganggu perjalanan Orang Besar ke hotel itu nanti. Maklumlah, Orang Besar nak makan maka Orang Besar perlu cepat sampai ke hotel.

Jarak perjalanan dari mahligai milik Orang Besar untuk ke hotel itu adalah 6km. Kebetulan pada hari itu jalan agak lengang. Orang ramai sudah mula beransur pulang ke pejabat atau kilang masing-masing untuk meneruskan rutin harian dengan bekerja. Kalau ada pun yang masih menggunakan jalan pada ketika itu adalah posmen, budak penghantar pizza, pemandu bas awam dan lori-lori pengangkut pasir. Namun sebab Orang Besar mungkin sudah lapar, maka khidmat pihak berkuasa sebagai peneman tetap diperlukan sepanjang perjalannya ke hotel.

Orang Besar tiba di hotel dengan selamat. Orang Besar masuk ke dalam hotel dan menjamu makanan utama. Kemudian menikmati pencuci mulut dan bergembira sambil main catur dengan seorang kenalannya. Tahniah, satu nyawa dapat diselamatkan oleh kita dengan memberi perkhidmatan peneman sepanjang jalan untuk memberi peluang Orang Besar tiba dengan cepat di hotel.

Mahu dijadikan cerita, terjadi pula sebuah kemalangan di satu bulatan di kota Shah Alam pada hari yang sama. Ianya melibatkan seorang lelaki tua dan anaknya yang mahu melintas jalan namun kemudian dilanggar oleh sebuah motorsikal. Lelaki tua dan anaknya cedera parah. Orang ramai menghubungi ambulan. Selepas 35minit ambulan sampai.

Lelaki tua dibawa ke dalam ambulan untuk dihantar ke sebuah hospital besar di Klang. Anak pula dibawa ke hospital yang sama menggunakan sebuah kereta. Jarak perjalanan dari tempat kejadian ke hospital adalah 11km. Kebetulan pada hari itu jalan agak sibuk kerana orang ramai sudah mula keluar untuk pulang ke rumah daripada pejabat dan kilang masing-masing. Ambulan memasang sirennya (yang konon-konon kuat) untuk menghalau kereta. Namun keadaan tidak berubah dan tidak membantu langsung.

Ambulan tiba di wad kecemasan selang 45 minit berikutnya. Berita baiknya adalah, lelaki tua itu kekurangan banyak darah dan disahkan meninggal dunia. Manakala anak lelakinya mengalami patah kaki.

Pihak berkuasa tidak pantas menghidu kejadian ini seperti mana kepantasan yang mereka lakukan ketika mahu menemani Orang Besar. Namun tahniah, satu nyawa sahaja yang terkoban. Dan nyawa itu pun terdiri daripada seorang lelaki tua yang tiada kepentingan. Orang kebanyakkan!

Yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Kan?