.SENIORJUNIOR SATU DUNIA.

Al kisah sebuah sketsa yang perlu direnung dan ditafsir. Al kisah seorang manusia dengan seorang manusia, seorang senior dengan seorang junior. Al kisah terpintal di sebuah 'pesta', maka aku teberdosa kerana memasang telinga mendengar perbualan dan cara si manusia itu berfikir.

Maka di 'pesta' itu, terdapat para tetamu yang terdiri daripada Mansor Puteh, Mamat Khalid dan juga bapa animasi negara, saudara Hassan Mutalib. Telah disediakan ruang untuk segala makhluk yang berakal untuk bertanyakan sebarang soalan, memberi pandangan dan melahirkan cadangan.

Tiada batasan untuk berkata-kata. Lantak koranglah untuk menghujahkan segala apa sekalipun yang mungkin terbuku dan terlintas dek akal.

Wujud seorang 'junior' yang kemudiannya tampil bertanyakan soalan. Silih berganti manusia-manusia mengajukan persoalan. Kemudian wujud pula seorang 'senior' yang kemudiannya tampil bertanyakan soalan. Silih berganti manusia-manusia mengajukan persoalan. Wujud kembali seorang 'junior' yang kemudiannya tampil kali ke-2, dan kali ini untuk memberi pandangan. Pandangannya mungkin agak pedas, namun aku rasa ianya lazat. Kerana ianya lahir dari hati yang jujur.

Cuma malang kemunculan kali ke-2 si 'junior' ini mendatangkan luka di pihak seorang manusia 'senior' ini. Maka si 'senior' mula membuka mulut bertanyakan kepada orang disebelahnya, "mamat ni part bape wey?". Manusia yang berada disebelahnya kemudian menjawab dengan hentam, belasah dan tibai je. "Ni budak part 2 kowt". Beta yang berada dibaris belakang golongan ini hanya mendengar dan memerhati. "Patut ar bangang, boleh lak tanya macam itu. Gempak sangat try ar wat filem", kata abang 'senior' ni. Aku mula menjadi marah, lalu menengking, "kau nak cakap orang bangang kau hebat sangat ke?" (tapi cacian aku hanya dapat didengari dalam hati sahaja:p).

Manusia 'senior' ini mula memandang ke arah si 'junior' tadi. Pandangan keras berkali-kali. Meletakkan si adik 'junior' dalam kawasan hina bersampah. "Junior lagi, wat kepala taw lak budget senior", bebel tak henti-henti si 'abang senior' kita yang seorang ini. Aku mula terfikir, kenapa sampai begitu marahnya si 'senior' ini, sedangkan tiada sesiapa pun mengganggu atau mencaci dia. Malahan Mansor Puteh yang punya badan pun tenang sahaja melayan pandangan tersebut. Baginya itu adalah pandangan setiap individu. Lain padang lainlah belalangnya!

Malang sungguh nasib 'senior' itu. Mengapa dia perlu kolotkan tahap pemikirannya sehina itu. Terlalu taksub dengan pangkat senior yang dimilikinya hingga memandang terlalu rendah kepada orang lain.

Aku sudah terpacak di Bumi gersang UiTM Kolej Puncak Perdana ini sejak tahun 2005, namun tidak pernah aku merelakan hati membahagi-bahagikan manusia kepada golongan-golongan tertentu. Bagi aku mudah, semuanya perlu berada pada tahap yang sama. Hari ini tuan junior, esok lusa akan jadi senior juga. Hari ini tuan senior, lusa tulat akan tunduk menjadi junior juga. Karma alam. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan pangkat itu. Adalah lebih manis untuk kita sentiasa tersenyum dan memiliki ramai kenalan tidak kira sama ada senior atau junior. Kalau terasa pahit pada senyuman, pilihan terbaik adalah sentiasa tunduk dan tidak menayangkan muka seperti mahu menguyah orang.

Logiknya, senior-senior ini pun bermula dengan pangkat junior. Logiknya, pintar-pintar itu pun bermula dengan bangang-bangang pada awalnya. Bagilah mereka ruang dan peluang untuk sama-sama menimba ilmu dan menjadi manusia yang pintar, agar tiada lagi kebanganggan!

Namun syukur, tidak semua manusia berpangkat senior bersikap begitu. Ada yang pintar mengambil peluang hidup di kampus bagi menambah kenalan dan mewujudkan portfolio peribadi sebagai manusia yang peramah dan disenangi ramai. Tidak rugi pun. Kerana akhirnya nanti kita akan sama-sama bersaing di dunia luar. Mungkin junior yang tuan maki-hamun itu secara tidak sengaja pula menjadi senior di bidang kerjaya. Masa itu di mana nak letak muka? Teori mereka sangat sempit: "Aku adalah senior, aku jugalah yang akan keluar awal ke bidang kerjaya dan memperolehi banyak pengalaman dan terus kekal sampai mati jadi senior". Realitinya, pengalaman boleh dimiliki, namun kreativiti individu yang akan menentukan 'pangkat' sebenar di luar sana. Senior, junior atau apa pangkat sekalipun kita tetap sama. Lahirkanlah suasana penuh harmoni agar manusia mengenali kita pada sebuah keagungan keperibadian murni, bukan dibenci dengan keangkuhan diri.